Cheung berasa kecewa dengan isterinya kerana dia gagal memeriksa arah ke sebuah restoran yang terkenal untuk menjamu selera. Keluarga ini telah merancang untuk mengisi percutian mereka di Jepun dengan hidangan yang lazat sebelum penerbangan pulang mereka. Kini, mereka kesuntukan waktu dan perlu membatalkan jamuan makan tersebut. Dengan penuh kecewa, Cheung mengkritik isterinya atas perancangan yang kurang baik itu.

Kemudian Cheung berasa kesal kerana kata-katanya. Dia terlalu kasar, dia juga sedar bahawa dia boleh memeriksa arah jalan itu sendiri, dan dia tidak mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang telah membuat banyak perancangan lain yang baik selama tujuh hari itu.

Ramai antara kita mungkin berada dalam keadaan yang sama dengan Cheung. Kita tergoda untuk melepaskan kemarahan dan membiarkan kata-kata keluar tanpa kawalan. Oh, kita seharusnya berdoa seperti pemazmur: “Jagalah, ya TUHAN, mulutku; awasilah pintu bibirku” (Mazmur 141:3).

Bagaimanakah kita boleh berbuat demikian? Berikut adalah petua yang dapat membantu kita: Fikir sebelum bercakap. Adakah kata-kata anda teguran baik yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar? (Lihat Efesus 4:29-32).

Untuk mengawasi mulut, kita perlu menutup mulut apabila berasa jengkel, kita juga memohon pertolongan Tuhan untuk mengatakan kata-kata yang tepat, dengan nada yang betul, atau mungkin, tidak berkata-kata sama sekali. Apabila berbicara tentang mengawal pertuturan kita, ia merupakan suatu perlakuan sepanjang hayat. Syukurlah, Tuhan bekerja dalam kehidupan kita, serta “membuat [kita] mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya” (Filipi 2:13, BM).