Sebaik sahaja lampu dimalapkan dan kami bersedia untuk menonton Apollo 13, kawan saya berkata perlahan-lahan, “Sayangnya mereka semua mati.” Dia merujuk kepada filem yang menceritakan tentang penerbangan angkasa lepas pada tahun 1970. Dengan rasa cemas, serta menantikan tragedi yang disebutkannya tadi, hanya apabila filem itu hampir berakhir, barulah saya menyedari bahawa saya telah tertipu. Saya tidak tahu atau ingat kesudahan cerita yang sebenarnya, iaitu walaupun para angkasawan tersebut menghadapi banyak kesukaran, mereka tetap kembali ke bumi dengan selamat.

Dalam Kristus, kita tahu kesudahan cerita kita, iaitu kita juga akan kembali dengan selamat. Maksudnya kita akan hidup selama-lamanya dengan Bapa kita di syurga, seperti yang kita baca dalam kitab Wahyu. Tuhan akan mewujudkan “langit baru dan bumi baru” sebagaimana Dia mencipta segalanya baru (21:1, 5). Di kota baharu ini, Tuhan akan mengalu-alukan umat-Nya untuk hidup bersama-Nya, tanpa perasaan takut, dan tiadanya malam hari. Kita mempunyai harapan dengan mengetahui kesudahan cerita hidup kita.

Apakah pengaruh yang akan dibawa oleh kenyataan ini? Ia boleh mengubah masa yang tersangat sukar, seperti apabila seseorang menghadapi kematian orang yang disayangi atau kematian mereka sendiri. Walaupun kita berasa takut ketika memikirkan kematian, namun kita boleh berpegang kepada kegembiraan daripada janji keabadian. Kita merindukan kota bahawa segala yang terlaknat tiada lagi, kita akan hidup selama-lamanya melalui cahaya Tuhan (22:5).