Baru-baru ini suami saya telah menyambut hari jadi yang penting, iaitu menyambut umurnya yang berakhir dengan angka sifar. Saya banyak berfikir tentang cara terbaik untuk menghormatinya dalam majlis yang penting ini. Saya pun membincangkan banyak cadangan dengan anak-anak saya untuk membantu saya menentukan sambutan yang terbaik. Saya mahu sambutan kami mencerminkan kepentingan untuk sepuluh tahun seterusnya dan betapa berharganya suami saya bagi keluarga kami. Saya mahu hadiah kami selaras dengan acara yang penting ini dalam hidupnya.
Raja Salomo mahu memberi hadiah yang lebih besar daripada apa yang dijangka akan diterima semasa “majlis hari jadi mewah” kepada Tuhan. Dia mengharapkan bait suci yang dibinanya layak bagi kehadiran Tuhan. Untuk mendapatkan bahan-bahan mentah, dia mengirim pesan kepada raja Tirus. Dalam suratnya, dia berkata bahawa bait itu haruslah besar “ kerana Allah kami lebih besar daripada segala tuhan” (2 Tawarikh 2:5). Dia mengakui bahawa kebesaran dan kebaikan Tuhan jauh melebihi apa yang dapat dibina dengan tangan manusia, namun dia tetap melaksanakan tugas itu kerana kasih dan penyembahan terhadap Tuhan.
Sesungguhnya Tuhan kita adalah lebih besar daripada segala tuhan lain. Dia telah melakukan perkara yang menakjubkan dalam kehidupan kita, mendorong hati kita untuk membawa persembahan yang penuh kasih dan berharga kepada-Nya, tanpa mengira nilai luaran. Salomo tahu hadiahnya tidak akan layak dipersembahkan kepada Tuhan, namun dengan penuh kegembiraan, dia tetap memberi persembahannya di hadapan Tuhan; kita juga boleh melakukannya seperti Salomo.