Bapa saya membuat tabung yang direka khas untuk pemanah membawa anak panah mereka. Dia mengukir gambar hidupan liar dengan teliti pada kepingan kulit asli, sebelum menjahit bahan-bahan itu.
Semasa melawat dia, saya sempat melihat dia membuat salah satu karya seninya. Tangannya begitu berhati-hati ketika menekan pisau yang tajam pada kulit lembut, sehingga menghasilkan pelbagai tekstur. Kemudian dia mencelupkan kain ke dalam pewarna merah lembayung dan melapiskan warna tersebut pada kulit itu dengan memberus sekata, untuk menonjolkan keindahan karya tangannya.
Apabila saya mengagumi hasil kerja tangan ayah saya yang penuh keyakinan, saya menyedari bahawa sering kali saya gagal mengakui serta menghargai kreativiti Bapa syurgawi saya, yang ditunjukkan dalam orang lain dan diri saya. Dengan merenungkan kemahiran karya Tuhan yang sangat indah serta mengagumkan, saya teringat akan pengakuan Raja Daud bahawa Tuhan menciptakan “bahagian-bahagian dalam” diri kita dan kita “dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan” (Mazmur 139:13-14).
Kita dapat memuji Pencipta kita dengan yakin kerana kita tahu betapa “menakjubkan ciptaan-[Nya]” (ayat 14). Kita juga digalakkan untuk menghormati diri sendiri serta orang lain, terutamanya apabila kita mengingat bahawa Pencipta Alam Semesta mengenal kita secara dalaman dan luaran, serta merancangkan hari-hari kita ketika kita “masih belum dibentuk” (ayat 15-16).
Seperti kulit lembut yang diukir oleh tangan bapa saya yang mahir, kita masing-masing cantik dan berharga kerana kita adalah ciptaan Tuhan yang asli. Setiap kita dibentuk untuk menjadi unik dan bertujuan sebagai karya agung yang dikasihi Tuhan, bagi memantulkan keagungan-Nya.