Kami mempunyai sebatang pokok ceri yang sangat tua di belakang rumah kami yang dahulunya dalam keadaan baik, tetapi sekarang kelihatan hampir mati. Jadi saya memanggil seorang pakar tumbuhan. Dia memeriksa pokok itu dan mengesahkan bahawa pokok tersebut “berada di bawah tekanan besar” dan memerlukan perhatian segera. “Ambillah nombor giliran, beratur di belakang saya”, isteri saya, Carolyn, menggumam pada pokok itu lalu pergi, ini kerana masa itu Carolyn sedang menghadapi tekanan besar.

Sesungguhnya, kesemua kita mempunyai minggu-minggu yang mencemaskan—penuh dengan kebimbangan tentang manusia diperlihatkan kehanyutan dalam arus budaya dunia ini, atau risau tentang anak-anak kita, perkahwinan kita, perniagaan kita, keadaan kewangan kita, kesihatan peribadi dan kesejahteraan diri. Namun Yesus telah berjanji kepada kita bahawa walaupun keadaan kita adalah membimbangkan, kita tetap boleh hidup dalam kedamaian. Dia berkata, “Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu” (Yohanes 14:27).

Hari-hari Yesus penuh dengan kesusahan dan gangguan: Dia telah dikepung oleh musuh-musuh-Nya dan disalahfahami oleh keluarga serta kawan-kawan-Nya. Dia sering tidak mempunyai tempat untuk meletakkan kepala-Nya. Namun Dia tidak ada perasaan bimbang atau rungutan dalam tingkah laku-Nya. Dia memiliki ketenangan dalaman. Inilah kesejahteraan yang telah diberikan-Nya kepada kita—bebas daripada kebimbangan mengenai masa lalu, sekarang, dan masa depan. Kesejahteraan yang ditunjukkan-Nya, adalah sejahtera-Nya.

Dalam apa pun keadaan, tidak kira betapa buruk atau remeh, kita boleh berharap kepada Yesus dalam doa. Dalam hadirat-Nya, kita dapat mengungkapkan kebimbangan dan ketakutan kita. Kemudian, Paulus meyakinkan kita, bahawa kedamaian Tuhan akan”memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus” (Filipi 4:7). Walaupun kita mungkin akan mengalami kerisauan, kita boleh memiliki sejahtera-Nya.