Apabila Denise bertemu dengan seorang wanita muda yang sedang mengalami kekecewaan di gereja, hatinya penuh belas kasihan dan dia memutuskan untuk menghulurkan bantuan dalam kemampuannya. Setiap minggu Denise meluangkan masa untuk membimbing wanita tersebut dan berdoa dengannya. Denise menjadi mentornya. Walau bagaimanapun, sesetengah pemimpin gereja tidak melihat usaha Denise dan memutuskan untuk mengatur seorang kakitangan gereja menjadi mentor wanita itu. Mereka berfikir bahawa tiada seorang pun mempedulikan dia sebelum ini”.
Walaupun Denise tidak mengharapkan apa-apa pujian, dia berasa sedikit kecewa. “Seolah-olah saya langsung tidak melakukan apa-apa pun,” katanya kepada saya.
Bagaimanapun, suatu hari wanita muda itu memberitahu Denise bahawa dia bersyukur dengan penghiburan yang diterimanya daripada Denise. Denise berasa digalakkan. Melalui pengakuan wanita tersebut, Tuhan seolah-olah memberitahunya, “Saya tahu anda membantu dia.” Denise masih tetap bertemu dengan wanita tersebut.
Kadang-kadang, kita berasa tidak dihargai apabila usaha kita tidak diakui. Bagaimanapun, Alkitab mengingatkan kita bahawa Tuhan tahu apa yang kita lakukan. Dia melihat apa yang tidak dilihat oleh orang lain, dan itu menyenangkan hati-Nya apabila kita melayani demi Dia—bukan untuk mendapat pujian manusia.
Mungkin itulah sebabnya Yesus memberi kita contoh dengan memberitahu kita supaya memberikan pemberian kita secara “tersembunyi,” supaya “Bapamu yang melihat amalmu … akan memberikan ganjaran kepadamu” (Matius 6:4). Kita tidak perlu berharap untuk mendapatkan pengiktirafan dan pujian daripada orang lain; kita dapat digalakkan kerana Tuhan tahu kita setia melayani Dia dan orang lain.