Di Jepun, produk makanan disediakan dan dibungkus dengan rapi. Produk ini bukan sahaja harus mempunyai rasa yang sedap, tetapi mesti juga mempunyai luaran yang kelihatan baik. Sering kali saya tertanya-tanya sama ada saya membeli makanan atau pembungkusannya! Oleh sebab penekanan orang Jepun kepada kualiti yang baik, produk yang mempunyai kecacatan sedikit sering dibuang. Walau bagaimanapun, pada tahun-tahun kebelakangan ini, produk wakeari menjadi agak popular. Wakeari bermaksud “ada sebab” dalam Bahasa Jepun. Produk-produk ini tidak dibuang tetapi dijual pada harga murah “kerana satu sebab”—contohnya, terdapat retakan pada keropok beras.
Kawan saya yang tinggal di Jepun memberitahu bahawa wakeari juga adalah ungkapan penarik bagi orang yang nescayalah tidak sempurna.
Yesus mengasihi semua orang—termasuk orang wakeari yang disisihkan oleh masyarakat. Apabila seorang wanita yang hidup berdosa mengetahui Yesus sedang makan di rumah seorang Farisi, dia pergi ke sana, melutut di belakang Yesus dekat kaki-Nya dan menangis (Lukas 7:37-38). Orang Farisi melabelkan wanita itu “seorang yang hidup berdosa” (ayat 39), tetapi Yesus menerimanya. Dia bercakap dengan lembut kepadanya, meyakinkan bahawa dosa-dosanya telah diampunkan (ayat 48).
Yesus mengasihi orang yang tidak sempurna, orang wakeari—termasuklah anda dan saya. Pernyataan kasih-Nya yang terbesar untuk kita adalah “Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita” (Roma 5:8). Sebagai penerima kasih-Nya, semoga kita menjadi saluran kasih-Nya kepada orang bercacat cela di sekeliling kita, supaya mereka juga mengetahui bahawa mereka boleh menerima kasih Tuhan, walaupun mereka tidak sempurna.