Ketika usia semakin meningkat, saya semakin boleh merasakan kesakitan pada sendi, terutamanya ketika cuaca sejuk. Kadang-kadang saya berasa bahawa saya bukanlah seorang penakluk, tetapi lebih serupa dengan seseorang yang ditakluki oleh cabaran-cabaran yang disebabkan oleh usia tua.
Itulah sebabnya wira saya merupakan seorang yang lebih tua, yakni Kaleb. Dia merupakan bekas pengintip yang dihantar oleh Musa untuk menyelidiki Kanaan, iaitu Tanah Perjanjian (Bilangan 13-14). Selepas pengintip-pengintip lain memberikan laporan yang buruk, hanya Kaleb dan Yosua daripada dua belas orang pengintip yang diperkenankan Tuhan untuk memasuki Kanaan. Sekarang dalam Yosua 14, masa untuk Kaleb menerima bahagian tanahnya telah tiba. Tetapi masih ada musuh yang harus dihalau keluar. Kaleb tidak ingin bersara begitu sahaja dan meninggalkan peperangan kepada generasi yang lebih muda, maka dia mengisytiharkan, “Engkau sendiri mendengar pada saat itu bahawa orang Enak ada di sana dengan kota-kota mereka yang besar dan berkubu. Mudah-mudahan TUHAN menyertai aku, sehingga aku dapat mengusir mereka seperti yang difirmankan TUHAN” (Yosua 14:12).
“TUHAN menyertai aku.” Itulah pola fikir Kaleb yang membuat dia senantiasa bersedia untuk berperang. Dia berfokus pada kuasa Tuhan bukan kuasanya sendiri, sudah tentu juga bukan berdasarkan umurnya yang sudah lanjut. Tuhan yang membantu Kaleb mengerjakan apa sahaja yang harus dilakukan.
Kebanyakan kita tidak berfikir untuk mengambil tindakan besar ketika kita sampai pada usia yang tertentu. Namun kita mampu melakukan perkara besar untuk Tuhan, tidak kira berapa usia kita. Ketika peluang serupa yang diterima Kaleb menghampiri kita, kita tidak perlu menolaknya. Dengan pertolongan Tuhan, kita boleh menaklukinya!