Ketika saya baru mempercayai Yesus, seorang mentor rohani mendorong saya menyimpan sebuah jurnal terima kasih. Ini merupakan sebuah buku nota kecil yang sentiasa saya bawa ke mana sahaja. Kadangkala saya akan mencatatkan kata-kata kesyukuran dalam jurnal itu dengan serta-merta. Pada masa yang lain pula, saya akan menulisnya pada hujung minggu semasa membuat renungan.
Ini merupakan kebiasaan yang baik untuk mengambil perhatian terhadap perkara yang harus dipuji—sesuatu yang saya anggap sebagai peneguhan hidup saya. Kebiasaan ini boleh membantu saya mengalami hadirat Tuhan serta berterima kasih kepada pertolongan dan kepedulian-Nya.
Dalam Mazmur yang paling pendek, iaitu Mazmur 117, penulis menggalakkan semua orang memuji Tuhan kerana “kasih-Nya melimpah kepada kita” (ayat 2).
Fikirkan hal ini: Bagaimanakah Tuhan menunjukkan kasih-Nya kepada anda pada hari ini, minggu ini, bulan ini dan tahun ini? Jangan melihat hal yang hebat sahaja. Kasih-Nya juga boleh dilihat dalam hal yang biasa-biasa, situasi hidup sehari-hari. Kemudian pertimbangkan bagaimana Dia telah menunjukkan kasih-Nya kepada keluarga anda, gereja anda dan orang lain. Benarkan minda anda menyelami betapa panjangnya kasih Tuhan terhadap kita.
Sang pemazmur menegaskan “kesetiaan TUHAN kekal selama-lamanya” (ayat 2, tulisan italik ditambahkan). Dengan kata lain, Dia akan terus mengasihi kita! Jadi kita akan terus memiliki banyak sebab untuk memuji Tuhan pada hari-hari yang akan datang. Sebagai anak yang sangat dikasihi-Nya, kiranya memuji dan mensyukuri Tuhan menjadi—amalan dalam hidup kita!