Kasut koboi bapa saya yang berdebu dan bertumit tinggi, dan kini terletak di lantai bilik pengajian saya mengingatkan saya tentang sifat orangnya setiap hari.

Selain itu, dia membesarkan dan melatih kuda yang khas untuk pertandingan—melatih kuda-kuda yang bergerak pantas. Saya suka melihat dia bekerja, berasa kagum bahawa dia boleh mengekalkan kedudukannya dengan duduk bercelapak di atas kuda.

Semasa kecil, saya mahu menjadi seperti bapa apabila saya sudah membesar. Sekarang saya sudah berusia lapan puluhan, namun saya masih tidak dapat mencapai keunggulan yang telah diraihnya.

Bapa saya berada di syurga sekarang, tetapi saya mempunyai Bapa yang lain untuk dicontohi. Saya ingin menjadi seperti Dia—dipenuhi oleh kebaikan-Nya, menjadi keharuman Kristus dengan kasih-Nya. Ini memang mustahil bagi saya untuk memiliki sifat-sifat tersebut dalam kehidupan ini; saya tidak dapat mencapai kesempurnaan yang telah ditetapkan-Nya.

Tetapi Rasul Petrus mengatakan ini: “Allah, sumber segala kasih kurnia, yang telah memanggil kamu dalam Kristus … akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan kamu “(1 Petrus 5:10). Kita harus tahu bahawa Dia mempunyai kebijaksanaan dan kuasa untuk melakukan hal itu (ayat 11).

Kekurangan kita untuk menjadi seperti Bapa kita yang di syurga tidak akan kekal selama-lamanya. Tuhan telah memanggil kita berkongsi keindahan dalam watak-Nya. Dalam kehidupan ini, kita tidak mencerminkan Dia dengan baik, tetapi di syurga kelak tidak akan ada dosa dan kesedihan lagi, malah kita akan mencerminkan Dia dengan sepenuhnya! Inilah “kasih kurnia sejati daripada Allah” (ayat 12).