Jeff Jacoby, penulis ruang bagi surat khabar Boston Globe, menulis tentang “para pakar yang berbakat pun berupaya melakukan kesalahan besar.” Jika anda membaca sejarah kebelakangan ini dengan sepintas lalu, semua akan menunjukkan bahawa dia adalah betul. Sebagai contoh, pereka cipta yang hebat, Thomas Edison, pernah mengisytiharkan filem bersuara tidak akan menggantikan filem senyap. Pada tahun 1928, Henry Ford mengisytiharkan, “Manusia menjadi terlalu pintar dan akan mengelakkan satu peperangan lagi.” Begitu banyak ramalan yang dibuat oleh “para pakar” telah terbukti tidak tepat. Orang yang sangat pintar jelas mempunyai hadnya.

Hanya seorang Peribadi yang boleh dipercayai sepenuhnya, dan Dia meluahkan kata-kata teguran untuk beberapa orang yang kononnya dipanggil pakar. Para pemimpin agama pada zaman Yesus mendakwa bahawa mereka mempunyai kebenaran itu. Para cendekiawan dan ahli teologi beranggapan bahawa mereka mengenal Mesias yang dijanjikan itu ketika Dia datang.

Yesus memberi amaran kepada mereka, “Kamu mengkaji Kitab Suci dengan tekun kerana kamu percaya dalamnya kamu mendapat hidup kekal.” Kemudian Dia menunjukkan mereka telah salah menganggap kebenaran yang sejati. “Sebenarnya Kitab Suci memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku untuk mendapatkan hidup kekal” (Yohanes 5:39-40).

Memandangkan tahun baru akan menjelang, kita akan mendengar ramalan yang berbeza-beza mengenai berita yang menakutkan dan yang sangat optimistik. Kebanyakan ramalan akan dinyatakan dengan penuh keyakinan dan kuasa. Jangan cemas. Keyakinan kita tetap dalam Tuhan yang menjadi tumpuan utama Alkitab. Kehidupan dan masa depan kita dipegang erat oleh Tuhan kita.