Salah satu tempat kegemaran saya dalam perjalanan ke Eropah adalah melawat katedral besar yang merangkumi landskap. Keindahannya sangat mengagumkan kerana bangunan-bangunan tersebut melonjak ke langit. Seni bina, kesenian, dan simbolisme yang terdapat pada bangunan-bangunan yang menakjubkan ini memberikan pengalaman yang mempesona akan keajaiban dan keagungan.

Ketika saya memikirkan hakikat bahawa struktur-struktur ini dibina untuk mencerminkan keagungan Tuhan dan kemegahan-Nya yang luar biasa, saya tertanya-tanya bagaimana kita mungkin dapat mengecap semula kekaguman yang sama tentang keagungan Tuhan dalam hati dan minda, serta diingatkan kembali tentang kehebatan-Nya.

Satu cara yang boleh kita lakukan ialah tidak memfokuskan struktur binaan manusia yang besar dan merenungkan kebesaran yang telah dicipta oleh Tuhan sendiri. Pandanglah langit untuk sejenak pada waktu malam yang berbintang dan memikirkan kuasa Tuhan ketika alam semesta tercipta oleh firman-Nya. Dukunglah seorang bayi yang baru dilahirkan dan bersyukur kepada Tuhan untuk keajaiban hidup yang diberikan-Nya. Pandanglah pergunungan Alaska yang diliputi salji atau Lautan Atlantik yang penuh dengan berjuta-juta makhluk ciptaan Tuhan, serta bayangkan kuasa yang menggerakkan ekosistem itu.

Ini bukan kesalahan bagi manusia yang ingin mencapai langit dengan struktur bangunan megah yang bertujuan untuk mengarahkan kita kepada Tuhan. Tetapi kekaguman kita yang paling tulen haruslah dikhaskan untuk Tuhan apabila kita berkata kepada-Nya, “Ya TUHAN, memang kepunyaan-Mu kebesaran, keperkasaan, kemuliaan, kejayaan, dan kemegahan” (1 Tawarikh 29:11).