Ada beberapa kali pada waktu pagi ketika saya berada dalam talian, Facebook menunjukkan saya “kenangan “—kejadian-kejadian yang telah saya kirimkan pada tahun-tahun sebelumnya. Kenangan-kenangan tersebut adalah seperti gambar perkahwinan abang saya, ataupun video anak perempuan saya yang sedang bermain dengan nenek saya, semua ini selalunya membuat saya tersenyum. Akan tetapi ada kalanya kenangan-kenangan tersebut membawa kesan emosi yang sangat mendalam. Ketika saya melihat nota mengenai lawatan saya ke hospital untuk saudara ipar saya semasa dia menjalani kemoterapi, atau gambar kokot pada kulit kepala ibu saya selepas dia menjalani pembedahan otak pada tiga tahun lalu, saya diingatkan akan kesetiaan Tuhan semasa dalam keadaan sukar. Kenangan Facebook ini menggerakkan saya untuk berdoa dan bersyukur.
Kita semua cenderung melupakan perkara-perkara yang telah dilakukan Tuhan untuk kita. Kita perlu diingatkan. Ketika Yosua memimpin umat Tuhan ke tempat kediaman baru mereka, mereka harus menyeberangi Sungai Yordan (Yosua 3:15-16). Tuhan memisahkan air, dan umat-Nya berjalan di tanah yang kering (ayat 17). Untuk membuat tanda peringatan akan mukjizat ini, mereka mengambil dua belas batu dari tengah-tengah sungai lalu meletakkan di tempat mereka bermalam (4:3, 6-7). Apabila orang menanyakan maksud batu tersebut, umat Tuhan akan menceritakan segala perbuatan Tuhan pada masa itu.
Peringatan-peringatan fizikal akan kesetiaan Tuhan pada masa lalu boleh mengingatkan kita mempercayai Dia pada masa kini—dan pada masa depan.