Saya menahankan tangisan ketika menyemak bil perubatan saya. Memandangkan gaji suami saya mengalami pengurangan yang besar selepas menganggur untuk tempoh yang panjang, malah untuk membayar separuh daripada baki bil itu pun akan memerlukan ansuran kecil bulanan selama beberapa tahun. Saya berdoa sebelum menelefon pejabat doktor untuk menjelaskan keadaan kami serta memohon rancangan pembayaran secara ansuran.

Selepas menunggu beberapa waktu, penyambut tetamu memaklumkan saya bahawa doktor telah melunaskan bil perubatan kami.

Saya menangis tersedu-sedu sambil mengucapkan terima kasih. Hadiah yang penuh kemurahan itu telah mengisi hati saya dengan kesyukuran. Saya meletakkan gagang telefon serta memuji Tuhan. Saya ingin menyimpan bil tersebut, bukan sebagai peringatan bahawa saya pernah berhutang, tetapi sebagai peringatan tentang apa yang telah dilakukan oleh Tuhan.

Keputusan doktor saya untuk menjelaskan hutang saya telah mengingatkan saya tentang keputusan Tuhan untuk mengampunkan segala hutang dosa saya. Alkitab meyakinkan kita bahawa Tuhan adalah “penuh belas kasihan dan kasih kurnia” dan “melimpah kasih-Nya” (Mazmur 103:8). Dia “tidak memperlakukan kita berdasarkan dosa kita” (ayat 10). Apabila kita bertaubat dan menerima Kristus sebagai Penyelamat kita, Dia menghapuskan dosa-dosa kita “sebagaimana jauhnya timur dari barat” (ayat 12). Pengorbanan-Nya menghapuskan segala hutang yang pernah kita ada sepenuhnya.

Setelah diampuni, kita tidak ditakrifkan atau dibatasi oleh hutang masa lalu kita. Sebagai respons kepada hadiah Tuhan yang luar biasa ini, kita boleh mengakui segala yang dilakukan-Nya. Dengan menaikkan penyembahan kita yang tulus dan kesyukuran yang penuh kasih, kita boleh hidup untuk Dia dan berkongsi kepada orang lain tentang Dia.