“Mahukah anda melihat apa yang ada di dalamnya?” tanya kawan saya. Saya baru sahaja memuji dia mengenai anak patung kain lama yang dipegang oleh anak perempuan kecilnya. Dengan perasaan ingin tahu, saya serta-merta menjawab ya, saya sangat ingin melihat apa yang ada di dalam anak patung itu. Kawan saya pun menterbalikkan anak patung itu dan membuka zip yang tidak menonjol di belakang anak patung. Dalam badan anak patung itu, Emily perlahan-lahan mengeluarkan sebuah barang berharga: anak patung kain yang dipegang dan disayanginya selama bertahun-tahun pada zaman kanak-kanaknya sendiri, lebih daripada dua dekad tahun lamanya. Tanpa anak patung di dalamnya, anak patung “luaran” itu hanyalah kulit kosong yang tidak dapat mengekalkan bentuknya.
Paulus menggambarkan kebenaran akan kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus sebagai harta, dengan hidup di kalangan manusia yang fana. Harta itu membolehkan mereka yang mempercayai-Nya dapat menanggung kesulitan yang tidak terbayangkan serta meneruskan pelayanan mereka. Apabila mereka melakukan hal itu, cahaya-Nya—hidup-Nya—bersinar terang melalui “retakan” kemanusiaan mereka. Paulus menggalakkan kita supaya “tidak tawar hati” (2 Korintus 4:16) kerana Tuhan menguatkan kita untuk melakukan pekerjaan-Nya.
Seperti anak patung “dalaman”, Injil yang berupa harta berharga dalam diri kita membawa kedua-dua tujuan dan ketabahan kepada kehidupan kita. Apabila kekuatan Tuhan bersinar melalui kita, ia akan merangsangkan orang lain bertanya, “Apakah yang ada di dalamnya?” Kemudian kita dapat membuka hati kita dan mendedahkan janji penyelamatan yang memberi hidup dalam Kristus.