Lee merupakan seorang pekerja bank yang rajin dan boleh dipercayai. Namun, dia sering mendapati dirinya seolah-olah berlainan dengan orang lain kerana mengamalkan imannya. Ini terdedah dalam beberapa kejadian, seperti dia meninggalkan ruang istirahat sewaktu perbualan yang tidak sesuai masih berlangsung. Dalam satu pembelajaran Alkitab, dia berkongsi dengan rakan-rakannya, “Saya berasa bimbang bahawa saya akan kehilangan peluang untuk naik pangkat kerana bersifat berlainan.”

Orang percaya pada zaman nabi Maleakhi menghadapi cabaran yang sama. Pada masa itu, mereka telah kembali daripada pembuangan dan bait suci telah dibina semula, tetapi ada keraguan tentang rancangan Tuhan untuk masa depan mereka. Beberapa orang Israel berkata, “Sia-sia sahaja beribadat kepada Allah! Apa untungnya kita mentaati dan melaksanakan kewajipan kita … ? Sekarang, kita menyebut orang yang angkuh sebagai orang yang berbahagia. Ya, orang yang melakukan kefasiqan hidup makmur, bahkan mereka selamat juga setelah menguji Allah!” (Maleakhi 3:14-15).

Bagaimanakah kita boleh berdiri teguh untuk Tuhan dalam budaya yang memberitahu kita bahawa kita akan mengalami kerugian jika kita tidak berkompromi? Mereka yang setia pada zaman Maleakhi menyahut cabaran itu dengan menemui orang percaya yang mempunyai pemikiran yang sama untuk menggalakkan satu sama lain. Maleakhi berkongsi butir yang penting ini dengan kita: “TUHAN memperhatikan dan mendengarkannya” (ayat 16).

Tuhan memperhatikan dan mempedulikan semua orang yang takut dan menghormati Dia. Dia tidak memanggil kita “mengikut cara dunia”, tetapi mendekatkan diri kepada-Nya setiap hari apabila kita saling menggalakkan. Marilah kita tetap setia!