Ketika saya mengkaji mitologi Yunani dan Roma di universiti, saya terkejut dengan keperibadian para tuhan mitos yang mudah muram dan naik marah dalam cerita-cerita. Kehidupan orang yang mencetuskan kemarahan tuhan-tuhan itu sering dimusnahkan akhirnya, kadang-kadang segala ini pula dilakukan oleh para tuhan dengan sesuka hati.

Dengan segeranya saya tertanya-tanya, mengapakah orang boleh mempercayai dewa-dewi seperti itu? Tetapi saya juga bertanya kepada diri sendiri, Adakah pandangan saya mengenai Tuhan yang benar-benar wujud itu berbeza daripada mitos tersebut? Adakah saya memandang Dia sebagai Tuhan yang mudah marah apabila saya meragui-Nya? Dengan sedihnya, jawapan adalah ya.

Itulah sebabnya saya menghargai permintaan Musa kepada Tuhan untuk “tunjukkanlah kiranya kepadaku kemuliaan-Mu” (Keluaran 33:18). Setelah dipilih untuk memimpin sekumpulan besar orang yang sering merungut terhadapnya, Musa ingin tahu jika Tuhan akan menolongnya dalam tugas yang hebat ini. Permintaan Musa telah diberi ganjaran dengan satu demonstrasi akan keagungan Tuhan. Tuhan mengumumkan nama dan sifat-sifat-Nya kepada Musa. Dia adalah “Allah penyayang dan pengasih, panjang sabar, serta berlimpah kasih dan setia” (34:6).

Ayat ini mengingatkan saya bahawa Tuhan tidak impulsif, yang tiba-tiba naik angin. Itu sangat meyakinkan, terutamanya apabila saya mengingatkan masa-masa yang saya meluahkan kemarahan atau ketidaksabaran kepada Dia. Sebaliknya, Dia secara terus-menerus menjadikan saya lebih menyerupai-Nya.

Kita dapat melihat Tuhan dan kemuliaan Nya dalam banyak hal, misalnya kesabaran-Nya terhadap kita, kata-kata dorongan daripada seorang kawan, matahari terbenam yang indah, atau—yang baik sekali—bisikan Roh Kudus dalam diri kita.