“Yesus sayang padaku, ini aku tahu, Alkitab mengajarku” ialah mesej daripada salah satu lagu Kristian yang tak lapuk dek zaman, terutamanya untuk kanak-kanak. Lagu ini ditulis oleh Anna B. Warner pada tahun 1800-an, dan lirik lagu ini dengan lembutnya mengesahkan hubungan kita dengan Tuhan—kita dikasihi.

Seseorang telah memberikan isteri saya sebuah plak untuk rumah kami. Perkataan pada plak itu yang diubah sedikit itu telah membawa kesan baru untuk idea yang sederhana itu. Perkataan itu berbunyi, “Yesus mengenaliku, ini aku suka.” Ini memberikan perspektif yang berbeza kepada hubungan kita dengan Dia—kita dikenali.

Di Israel kuno, seorang gembala sejati dapat dibezakan daripada gembala yang diupah, dengan cara dia menyayangi dan mengenal domba-dombanya. Gembala menghabiskan begitu banyak masa dengan dombanya sehingga dia memiliki penjagaan yang berkekalan dan pengetahuan yang mendalam tentang anak-anak dombanya. Tidak hairanlah bahawa Yesus memberitahu para pengikut-Nya, “Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku … Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku; Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku” (Yohanes 10:14, 27).

Dia mengenal dan mengasihi kita! Kita boleh mempercayai rancangan Yesus bagi kita dan yakin akan janji penjagaan-Nya kerana Bapa-Nya “tahu apa yang [kita] perlukan sebelum [kita] memohonnya” (Matius 6:8). Apabila anda berurusan dengan jatuh bangun dalam kehidupan pada hari ini, bertenanglah dalam Tuhan. Anda amat dikenali dan dikasihi oleh Gembala anda.