Ketika saya membesar pada tahun 1950-an, saya tidak pernah mempersoalkan perkauman dan amalan pemisahan kaum yang meresap kehidupan seharian di bandar yang kami tinggal. Di sekolah, restoran, pengangkutan awam dan kawasan kejiranan, orang dengan warna kulit yang berbeza diasingkan.

Sikap saya berubah pada tahun 1968 apabila saya memasuki Latihan Asas Ketenteraan Amerika Syarikat. Kumpulan kami merangkumi lelaki muda daripada pelbagai budaya yang berbeza. Dengan segeranya kami harus belajar untuk memahami dan menerima satu sama lain, bekerjasama dan mencapai misi kami.

Ketika Paulus menulis kepada gereja abad pertama di Kolose, dia menyedari kepelbagaian di kalangan jemaah. Dia mengingatkan mereka, “Dengan demikian tiada lagi orang Yunani atau orang Yahudi, orang bersunat atau orang tidak bersunat, orang gasar, orang Skit, hamba atau merdeka. Kristus segala-galanya dan dalam segala-galanya” (Kolose 3:11). Perbezaan kecil mahupun perbezaan yang ketara dalam satu kumpulan sudah boleh membahagikan orang dengan mudah, oleh itu Paulus mendesak mereka “bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (ayat 12). Selain semua kebaikan ini, dia memberitahu mereka mengamalkan “kasih, ikatan dan penyatu yang sempurna” (ayat 14).

Mempraktikkan prinsip-prinsip tersebut dalam kehidupan memangnya mengambil masa, tetapi itulah panggilan Yesus bagi kita. Persamaan kesemua kita sebagai orang Kristian ialah kasih kita kepada-Nya. Atas dasar itu, kita mengejar persefahaman, kedamaian dan perpaduan sebagai anggota tubuh Kristus.

Di tengah-tengah kepelbagaian kita yang indah, kita mengejar perpaduan yang lebih besar dalam Kristus.