Pada suatu hari, ketika saya sangat prihatin terhadap kebajikan seseorang yang rapat dengan saya, saya berasa terdorong oleh kisah Samuel dalam Perjanjian Lama, iaitu seorang pemimpin Israel yang bijak. Ketika saya membaca kisah Samuel yang tekun berdoa untuk umat Tuhan semasa mereka menghadapi masalah, saya juga bertekad untuk berdoa bagi orang yang saya sayangi.
Orang Israel menghadapi ancaman orang Filistin yang sebelumnya telah mengalahkan mereka ketika umat Tuhan tidak mempercayai-Nya (lihat 1 Samuel 4). Setelah mereka bertaubat, mereka menerima berita bahawa orang Filistin sedang bersedia untuk menyerang. Walau bagaimanapun, kali ini mereka menyeru Samuel agar terus berdoa untuk mereka (1 Samuel 7:8), dan Tuhan menjawab dengan jelas bahawa Dia akan mengharu-birukan musuh (1 Samuel 7:10). Walaupun orang Filistin lebih kuat daripada orang Israel, namun kekuatan Tuhan melampaui kekuatan mereka.
Apabila kita berduka dengan segala cabaran yang dihadapi oleh orang yang kita sayangi, dan berasa bimbang jika keadaan itu tidak akan berubah, kita mungkin sedang dicubai untuk mempercayai bahawa Tuhan tidak akan bertindak. Namun kita tidak boleh membatasi kuasa doa, kerana Tuhan kita yang maha pengasih akan mendengar seruan kita. Kita tidak tahu apa yang akan dilakukan-Nya sebagai tindak balas kepada seruan kita, tetapi kita tahu bahawa sebagai Bapa kita, Dia rindu agar kita berpegang kepada kasih-Nya serta mempercayai kesetiaan-Nya.
Adakah anda mempunyai seseorang yang boleh anda doakan pada hari ini?