Kegagalan sistem komputer global menyebabkan banyak penerbangan yang terbatal, sehingga beratus-ratus ribu penumpang terkandas di lapangan terbang. Semasa ribut musim sejuk, beberapa kemalangan kenderaan juga menyebabkan lebuh raya utama ditutup. Orang yang berjanji untuk memberi jawapan “dengan segera” telah gagal melakukannya. Penangguhan sering boleh menimbulkan kemarahan dan kekecewaan, tetapi sebagai pengikut Yesus, kita diberi anugerah untuk mencari pertolongan daripada-Nya.
Salah satu contoh yang luar biasa dalam Alkitab ialah kesabaran Yusuf. Dia telah dijual kepada para pedagang hamba oleh saudara-saudaranya yang cemburu, difitnah oleh isteri majikannya, dan dipenjarakan di Mesir. “Maka terpenjaralah Yusuf di situ. Akan tetapi, TUHAN menyertai Yusuf” (Kejadian 39:20-21). Beberapa tahun kemudian, selepas Yusuf mentafsir mimpi Firaun, dia dijadikan perdana menteri di Mesir (fasal 41).
Hasil kesabaran yang paling luar biasa terjadi ketika abang-abangnya datang untuk membeli gandum semasa kebuluran. “Akulah Yusuf, saudaramu” katanya kepada mereka, “yang kamu jual ke Mesir. Tetapi sekarang, janganlah bersusah hati atau marah kepada dirimu sendiri kerana kamu menjual aku ke mari. Sebabnya Allah menghantar aku untuk mendahului kamu supaya kehidupan dipelihara … Oleh itu, bukanlah kamu yang menyuruh aku ke sini, melainkan Allah” (45:4-5, 8).
Dalam segala penangguhan yang berlaku dalam kehidupan kita, sama ada dalam jangka masa yang pendek mahupun jangka masa panjang, semoga kita dapat mencontohi kesabaran, perspektif, dan kesejahteraan Yusuf apabila kita mempercayai Tuhan.