Selama beberapa dekad, Koir Brooklyn Tabernacle yang terkenal telah memberkati ramai orang melalui lagu-lagu Injil mereka yang menyegarkan jiwa. Salah satu contoh ialah rakaman mereka berdasarkan Mazmur 121 yang bertajuk “Pertolongan Aku.”
Mazmur 121 bermula dengan pengakuan iman dalam Tuhan yang telah mewujudkan segala sesuatu, dan Dia yang menjadi sumber pertolongan bagi si pemazmur (ayat 1-2). Apakah maksudnya? Kestabilan (ayat 3), penjagaan sepanjang masa (ayat 3-4), kehadiran dan perlindungan yang berterusan (ayat 5-6), serta perlindungan daripada segala kejahatan dari sekarang hingga selama-lamanya (ayat 7-8 ).
Melalui pengajaran daripada firman Tuhan, umat Tuhan sepanjang zaman telah mengenal pasti bahawa Tuhan merupakan sumber “pertolongan” mereka melalui lagu-lagu tersebut. Saya sendiri juga mempunyai pengalaman yang sama semasa menaikkan pujian bersama orang lain ketika masa penyembahan, dengan menyanyikan sebuah lagu penyembahan Charles Wesley, “Bapa, aku meregangkan tanganku kepada-Mu, tiada pertolongan lain yang aku tahu; Jika Engkau menarik diri daripadaku, ah! Ke mana aku akan pergi.” Pejuang reformis yang terkenal, Martin Luther, memang betul apabila dia menulis kata-kata ini, “Tuhan kita tugu yang kukuh, pelindung yang tidak pernah gagal; Dia penolong kita dalam arus kejahatan manusia yang kian ketara.”
Adakah anda berasa sendirian, ditinggalkan, diabaikan, keliru? Fikirkan lirik dalam Mazmur 121. Benarkan perkataan-perkataan ini mengisi jiwa anda dengan keyakinan dan keberanian. Anda tidak keseorangan, jadi jangan menghadapi segala sesuatu secara sendirian. Sebaliknya, bersukacitalah dalam penjagaan Tuhan yang kekal sebagaimana dinyatakan dalam kehidupan, kematian, kebangkitan Tuhan Yesus Kristus, dan keberangkatan-Nya ke syurga. Apa pun yang berlaku dalam kehidupan anda seterusnya, jangan lupa menempuh perjalanan ini dengan pertolongan Tuhan.