Regina memandu pulang dari tempat kerja dalam keadaan lemah semangat dan letih. Hari itu dimulakan dengan kiriman berita yang menyedihkan daripada seorang kawan. Kemudian keadaannya itu terbawa-bawa ke mesyuarat bersama rakan-rakan sekerja yang enggan menerima sebarang ideanya. Semasa Regina sedang bercakap dengan Tuhan, dia berpendapat bahawa lebih baik dia mengetepikan tekanan pada hari itu dan membuat lawatan kejutan dengan membawa bunga untuk seorang kawan yang sudah berumur di pusat penjagaan. Semangatnya bangkit kembali apabila Maria berkongsi kebaikan Tuhan kepadanya. Dia berkata, “Saya mempunyai katil sendiri dan sebuah kerusi, tiga hidangan makanan sehari, serta boleh mendapat bantuan daripada jururawat di sini. Ada kalanya Tuhan juga menghantar burung kardinal muncul di tepi tingkap saya kerana Dia tahu saya menyukai burung ini dan Dia mengasihi saya.”
Sikap. Perspektif. Seperti kata pepatah yang berbunyi, “10 peratus dalam kehidupan kita adalah segala kejadian yang berlaku kepada kita, dan 90 peratus adalah tindak balas kita terhadap kejadian tersebut. “Yakobus menulis surat kepada orang Kristian yang tercerai-cerai kerana dianiaya, dan dia meminta mereka mempertimbangkan perspektif mereka mengenai kesusahan. Dia mencabar mereka dengan kata-kata ini: “Anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan” (Yakobus 1:2).
Kita masing-masing berada dalam perjalanan untuk belajar mempercayai Tuhan melalui keadaan yang sukar. Jenis perspektif yang penuh sukacita, yang disebutkan oleh Yakobus akan hadir apabila kita belajar untuk melihat bahawa Tuhan boleh menggunakan pergelutan untuk menghasilkan kematangan iman kita.