Suami saya sedang bekerja ketika saya menerima berita mengenai diagnosis penyakit kanser ibu saya. Saya meninggalkan mesej kepadanya dan menghubungi ahli-ahli keluarga serta sahabat handai. Namun tiada sesiapa pun yang dapat dihubungi. Saya pun menutup muka dengan tangan saya yang menggeletar, lalu menangis. “Tolonglah aku, ya Tuhan.” Pada saat itu, keyakinan bahawa Tuhan menyertai saya telah memberikan penghiburan pada masa saya berasa keseorangan.
Saya bersyukur kepada Tuhan apabila suami saya pulang ke rumah serta mulai mendapat sokongan daripada kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga lain. Namun, kesedaran yang menenangkan tentang kehadiran Tuhan yang saya rasai dalam beberapa jam pertama semasa dalam keadaan sedih dan seorang diri, telah membuktikan bahawa Tuhan sentiasa bersedia dan setia untuk menolong pada bila-bila waktu dan di mana-mana sahaja ketika saya ada keperluan.
Dalam Mazmur 46, penulis Mazmur mengisytiharkan bahawa Tuhan ialah pelindung, kekuatan dan penolong kita yang setia (ayat 1). Apabila kita seolah-olah dikelilingi oleh keadaan kacau-bilau, atau segala kestabilan yang kita alami selama ini terhempas di sekeliling kita, kita tidak perlu berasa takut (ayat 2-3). Tuhan tidak pernah goyah (ayat 4-7). Kuasa-Nya terbukti dan efektif (ayat 8-9). Penyelamat abadi kita memberi keyakinan kepada kita melalui perwatakan-Nya yang tidak berubah (ayat 10). Tuhan, kubu pertahanan kita, tinggal bersama dengan kita selama-lamanya (ayat 11).
Tuhan menginginkan para pengikut-Nya saling menyokong dan menggalakkan melalui doa. Tetapi Dia juga menegaskan bahawa Dia sentiasa mampu dan sedia. Apabila kita memanggil Tuhan, kita boleh mempercayai Dia akan menepati janji-Nya dalam membekalkan keperluan kita. Dia akan memberi penghiburan kepada kita melalui umat-Nya serta melalui kehadiran-Nya sendiri.