Pada suatu malam beberapa tahun yang lalu, setelah berdoa bersama dengan anak perempuan kami yang berumur dua tahun, isteri saya dikejutkan oleh satu soalan. “Mama, di manakah Yesus?”

Luann menjawab, “Yesus berada di syurga dan Dia berada di mana-mana, Dia berada di sini bersama kita. Dia juga boleh berada dalam hati anda jika anda meminta-Nya masuk ke dalam hati.”

“Saya menginginkan Yesus masuk ke dalam hati saya.”

“Suatu hari nanti anda boleh meminta Dia masuk ke dalam hati kamu.”

“Saya mahu meminta Yesus masuk ke dalam hati saya sekarang.”

Lalu gadis kecil kami berkata, “Yesus, sila masuk ke dalam hati saya dan tinggal bersama dengan saya.” Pada saat itu juga dia pun memulakan perjalanan imannya bersama Yesus.

Ketika murid-murid Yesus bertanya kepada Dia bahawa siapa yang terbesar dalam kerajaan syurga nanti, Dia memanggil seorang kanak-kanak kecil berdiri di hadapan mereka semua (Matius 18:1-2). “Kecuali kamu menjadi seperti kanak-kanak kecil,” Yesus berkata, “kamu tidak akan masuk ke dalam kerajaan syurga … Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku” (ayat 3-5).

Melalui pandangan Yesus, kita dapat melihat iman seperti seorang kanak-kanak boleh menjadi contoh iman kita. Kita juga diberitahu agar menyambut semua yang membuka hati mereka untuk mempercayai-Nya. “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku,” Yesus berkata, “jangan larang mereka, kerana orang seperti itulah yang empunya kerajaan syurga” (Matius 19:14).