Dengan cepatnya saya akan menjelang “musim sejuk” hidup—yakni usia tua—tetapi saya belum mencapai peringkat hidup itu. Walaupun tahun-tahun berlalu dengan pantas dan kadang-kadang saya menginginkan segalanya boleh berlaku dengan lambat, saya masih mempunyai sukacita yang menguatkan saya. Setiap hari merupakan hari baru yang diberikan Tuhan kepada saya. Saya boleh bersyukur bersama-sama pemazmur, “Sungguh baik mengucap syukur kepada TUHAN … mengisytiharkan kasih-Mu sewaktu pagi dan kesetiaan-Mu setiap malam!” (MAZMUR 92:1-2).

Walaupun kehidupan saya mempunyai pergelutan, malah kesakitan dan masalah yang dialami orang lain kadang-kadang menyedihkan saya, namun dengan bersama-sama pemazmur, Tuhan “telah membuat [kami] sukacita dengan ciptaan-[Nya]” (ayat 4). Kita bersukacita untuk berkat yang diberikan: keluarga, sahabat, dan kerja yang memuaskan. Kita bersukacita kerana penciptaan Tuhan yang luar biasa dan firman yang diilhamkan-Nya. Kita bersukacita kerana Yesus sangat mengasihi kita sehingga Dia rela mati kerana dosa kita. Kita juga bersukacita kerana Dia memberi kita Roh, sumber kegembiraan sejati (Roma 15:13). Kerana Tuhan, orang percaya dapat bertumbuh “subur seperti pokok palma … [dan] tetap berbuah pada usia tua” (Mazmur 92:12-14).

Apakah buah itu? Tidak kira apa bentuk keadaan mahupun musim dalam kehidupan kita, kita boleh menjadi contoh untuk mempamerkan kasih Tuhan melalui kehidupan kita dan kata-kata yang kita ucapkan. Sukacita akan melimpah daripada hidup kita setelah kita mengetahui dan hidup untuk Tuhan, serta memberitahu orang lain mengenai Dia.