Apabila seorang pengiklan meminda foto karya terkenal Michelangelo—patung wira dalam Alkitab, Daud yang dibentuk daripada marmar, pegawai-pegawai kerajaan dan galeri Itali menyuarakan bantahan mereka. Patung Daud yang digambarkan dengan menyandang senapang di bahunya (dan bukan ali-alinya) merupakan suatu kemusnahan—”tindakan ini adalah lebih buruk daripada memukulnya dengan tukul,” kata seorang pegawai kebudayaan.

Di Yerusalem pada abad pertama, Daud diingati sebagai gembala dan penulis lagu, serta wira dan raja pada zaman Israel yang memiliki sejarah yang paling gemilang dan berharapan tinggi. Para nabi bernubuat bahawa keturunan Daud akhirnya akan mengalahkan musuh Israel. Jadi, berabad-abad kemudian, ketika orang ramai menyambut Yesus sebagai Anak Daud (Matius 21:6-9), mereka mengharapkan Dia memimpin pemberontakan yang akan menggulingkan penjajah Roma. Sebaliknya Yesus menterbalikkan meja-meja penukar wang untuk memulihkan rumah Bapa-Nya sebagai rumah doa bagi semua bangsa. Pemimpin Israel naik marah. Ini bukan jenis Mesias dan anak Daud yang dicari oleh mereka. Jadi tanpa menyedari apa yang dilakukan, mereka memanggil para askar Roma memaku tangan dan kaki kemuliaan Israel yang sebenar.

Yesus tidak menghentikan mereka, sebaliknya dengan rela Dia digantungkan pada kayu salib yang mengaibkan—dimusnahkan dan dimalukan. Hanya dengan kebangkitan-Nya, kita diberitahu bahawa Anak Daud yang benar telah mengalahkan musuh-Nya dengan kasih dan menyeru anak-anak daripada semua bangsa menyebarkan Berita Baik itu.