Seperti ramai orang, saya bergelut untuk bersenam. Tetapi baru-baru ini saya mendapatkan sesuatu yang memotivasikan saya bergerak: pedometer yang menghitung jumlah langkah ketika berjalan kaki. Ini adalah satu peralatan yang mudah. Tetapi yang menakjubkan ialah alat ini telah membawa motivasi yang besar kepada saya. Saya tidak lagi bersungut-sungut apabila saya terpaksa berdiri dari sofa, sebaliknya saya melihatnya sebagai peluang untuk mengambil beberapa langkah lagi. Tugas-tugas harian, seperti mendapatkan secawan air untuk salah satu anak saya, menjadi peluang yang membantu saya mencapai matlamat yang lebih besar. Jadi, sebenarnya pedometer telah mengubah perspektif dan motivasi saya. Sekarang saya beria-ria untuk berjalan beberapa langkah lagi apabila ada peluang.

Saya tertanya-tanya jika kehidupan Kristian kita memiliki sedikit persamaan seperti itu. Kita mempunyai banyak peluang untuk mengasihi, melayani dan berinteraksi dengan orang lain setiap hari, seperti yang dikatakan oleh Paulus dalam Kolose 4:5. Tetapi adakah saya sentiasa sedar akan detik-detik itu? Adakah saya memberi perhatian kepada peluang-peluang yang ada untuk menjadi penggalak dalam interaksi yang kelihatan biasa? Tuhan sedang bekerja dalam kehidupan setiap orang yang saya berhubung, bermula daripada ahli keluarga dan rakan sekerja saya, hinggalah pekerja di kedai runcit. Setiap interaksi menawarkan peluang bagi saya untuk memberi perhatian kepada apa yang mungkin dilakukan oleh Tuhan—walaupun ini sesuatu tindakan yang seolah-olah “kecil” seperti bertanya khabar kepada seorang pelayan di sebuah restoran.

Tiada sesiapa yang tahu bahawa Tuhan mungkin akan bekerja pada saat-saat itu ketika kita peka terhadap peluang-peluang yang diberikan-Nya.