Kadangkala kehidupan kita boleh berubah dalam sekelip mata melalui impak orang lain yang kuat. Bagi Bruce Springsteen, seorang penyanyi legenda rock ‘n’ roll, karya-karya daripada artis-artis muzik lain membantu dia melalui zaman kanak-kanak yang sukar dan perjuangannya yang berterusan dengan kemurungan. Dia menjumpai makna dalam karyanya sendiri melalui kebenaran yang dialaminya sendiri, yakni “Anda boleh mengubah kehidupan seseorang dalam 3 minit dengan lagu yang betul.”

Seperti lagu yang menarik, kata-kata bijak orang lain juga memberi kita harapan, bahkan mengubah perjalanan hidup kita. Saya mempercayai bahawa kebanyakan kita dapat berkongsi cerita tentang perbualan yang memberi kesan kepada kehidupan kita selama-lamanya—kata-kata seorang guru mengubah cara kita melihat dunia, kata-kata dorongan yang memulihkan keyakinan kita, kata-kata lembut daripada seorang teman yang menemani kita melalui masa yang sukar.

Mungkin inilah sebab kitab Amsal menghabiskan banyak masa menitikberatkan tanggungjawab kita supaya kita berhati-hati menggunakan setiap perkataan dengan bijak. Alkitab tidak pernah menganggap kata-kata yang diucapkan seolah-olah “hanya bercakap.” Sebaliknya, kita diajar bahawa kata-kata kita mempunyai kuasa untuk menyelamatkan ataupun membinasakan seseorang (Amsal 18:21). Hanya dengan beberapa perkataan, kita boleh menghancurkan semangat seseorang, atau, kita boleh menyegarkan dan menguatkan orang lain melalui kata-kata yang penuh hikmah dan harapan (Amsal 15:4).

Bukan semua orang berkeupayaan untuk menggubah muzik yang hebat. Tetapi kita boleh mencari kebijaksanaan Tuhan untuk melayani orang lain melalui kata-kata kita (Mazmur 141:3). Dengan memilih perkataan dengan bijak, Tuhan boleh menggunakan kita untuk mengubah kehidupan seseorang.