Salah satu daripada faedah telefon bimbit ialah kita mempunyai akses maya yang tidak terhad kepada orang lain. Hasilnya, ramai orang bercakap dengan menggunakan telefon atau menghantar teks ketika memandu—ada kalanya menyebabkan kemalangan jalan raya yang dahsyat. Untuk mengelakkan kemalangan sedemikian, banyak kawasan di dunia telah menguatkuasakan undang-undang mengharamkan penggunaan telefon ketika memandu. Di Amerika Syarikat, terdapat banyak papan tanda di lebuh raya yang mengingatkan para pemandu singgah di zon telefon untuk menelefon atau menghantar teks sepuas hati mereka.
Walaupun pengehadan komunikasi telefon bimbit bagi para pemandu merupakan satu idea yang baik, terdapat komunikasi lain yang tidak terhad: doa. Tuhan mengundang kita memanggil Dia sama ada kita sedang datang, pergi atau duduk. Dalam Perjanjian Baru, kata-kata Paulus menasihati kita yang ingin berkomunikasi dengan Tuhan agar berdoa “sepanjang masa” (1 Tesalonika 5:17). Paulus memasukkan polisi terbuka ini dengan menggalakkan kita agar “bersukacitalah sentiasa” (ayat 16) dan “bersyukurlah dalam segala keadaan”. Tuhan memanggil kita agar kita bersukacita dan bersyukur—penyataan iman dalam Tuhan melalui Kristus dengan berdoa sepanjang masa.
Tuhan sentiasa hadir pada masa kita berseru dalam masa yang pendek dan ketika kita berbual-bual panjang dengan-Nya dalam doa. Dia mengalu-alukan kita berhubung dengan-Nya, sentiasa berkongsi sukacita, kesyukuran, keperluan, pertanyaan, kebimbangan dengan Dia (Ibrani 4:15-16). Kita sentiasa berada dalam zon doa.