Namanya David, tetapi ramai yang memanggil dia “pemain biola jalanan.” David merupakan seorang yang sudah berumur dan rambutnya kusut-masai, penunggu tetap yang berada di tempat-tempat terkenal di bandar kami, bersenandung kepada orang yang lalu-lalang dengan bakat bermain biolanya yang luar biasa. Kadangkala pendengar meletakkan sekeping wang kertas 1 dolar ke dalam kotak biolanya yang terbuka di kaki lima sebagai balasan. David akan tersenyum dan menundukkan kepala sebagai tanda terima kasih dan terus memainkan biolanya.

Apabila David meninggal dunia baru-baru ini dan notis obituarinya terpapar dalam surat khabar tempatan, rupa-rupanya dia boleh bertutur dalam beberapa bahasa, merupakan seorang graduan dari sebuah universiti yang berprestij, malah pernah bertanding bagi memegang jawatan sebagai senat negeri beberapa tahun yang lalu. Ada yang menyatakan kejutan terhadap tahap pencapaian David, setelah menilai dia atas dasar penampilan sahaja.

Firman Tuhan memberitahu kita bahawa “Allah menciptakan manusia menurut gambaran-Nya” (Kejadian 1:27). Ini menyatakan satu nilai yang ada dalam diri kita masing-masing, tidak kira rupa, pencapaian, atau pandangan orang terhadap kita. Malah ketika kita memilih untuk memungkari Tuhan kerana dosa kita, Tuhan begitu menghargai kita sehingga Dia mengutus Anak-Nya yang tunggal untuk menunjukkan kita jalan penyelamatan dan hidup abadi bersama Dia.

Kita dikasihi Tuhan, dan semua yang berada di sekeliling kita adalah orang yang berharga di mata Tuhan. Semoga kita menunjukkan kasih kita kepada Tuhan dengan berkongsi kasih-Nya kepada orang lain.