“Apa yang telah saya lakukan?” Seharusnya saat itu merupakan salah satu masa yang paling menarik dalam hidup saya. Sebaliknya, saya berasa amat kesepian. Saya baru mendapat satu pekerjaan “sebenar” selepas tamat universiti, yang terletak beratus-ratus kilometer jauhnya dari tempat yang saya dibesarkan. Keterujaan saya begitu cepat hambar. Apartmen saya kecil, tidak berperabot. Selok-belok bandarnya saya tidak biasa. Seorang pun tidak saya kenal. Kerja itu memang menarik tetapi rasa kesepian begitu menghimpit saya.

Pada suatu malam, saya duduk bersandar pada dinding di rumah. Saya membuka Alkitab dan terbaca Mazmur 16:11 yang menjanjikan bahawa Tuhan akan membahagiakan kita dalam hadirat-Nya. Saya pun berdoa, “Tuhan, kerja ini suatu hal yang baik tetapi saya berasa sangat kesepian. Tolong yakinkan saya bahawa Engkau selalu dekat.” Pelbagai doa yang disertai kesayuan sedemikian telah saya ucapkan selama berminggu-minggu. Ada waktunya rasa kesepian saya diubati, dan saya boleh mengalami kehadiran Tuhan dengan mendalam. Tetapi pada waktu lain, saya masih diselubungi perasaan terasing yang sangat dalam.

Tetapi Tuhan perlahan-lahan menguatkan iman saya tatkala malam demi malam saya kembali membaca ayat tersebut dan berpaut padanya. Saya mengalami kesetiaan-Nya dalam cara yang tidak pernah saya alami sebelumnya. Saya belajar bahawa tugas saya adalah meluahkan hati saya kepada Dia … dan dengan rendah hati menantikan jawapan-Nya yang setia, percaya kepada janji-Nya bahawa Dia akan memenuhi kita dengan Roh Kudus.