Seorang anak perempuan kecil menari dengan gembira dan lemah-gemalai mengikut rentak lagu pujian. Dia seorang sahaja berada di ruang sayap gereja, tetapi itu tidak membuatkan dia segan. Dia terus-menerus memusing-musingkan badan, melambai-lambaikan tangan serta mengangkat-angkatkan kakinya mengikut rentak muzik. Ibunya hanya tersenyum melihatnya dan membiarkan dia menari.

Hati saya riang ketika melihat gelagat anak ini, terasa ingin turut menari—tetapi saya tidak. Sudah lama saya kehilangan perasaan sukacita dan kagum seperti kanak-kanak. Walaupun kita memang bertumbuh dan menjadi dewasa lalu meninggalkan ciri keanak-anakan, ini tidak bermakna kita juga kehilangan sukacita dan rasa kagum, terutamanya dalam hubungan kita dengan Tuhan.

Ketika Yesus hidup di dunia, Dia mengalu-alukan kanak-kanak kecil datang kepada-Nya dan sering menjadikan mereka contoh dalam ajaran-Nya (Matius 11:25; 18:3; 21:16). Pada suatu kali, Yesus tidak menyenangi murid-murid-Nya kerana mereka cuba melarang orang membawa anak-anak mereka untuk diberkati-Nya. Dia berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang yang seperti itulah yang empunya Kerajaan Allah” (Markus 10:14). Maksud Yesus adalah dengan mempunyai ciri-ciri seperti kanak-kanak kecil, ini akan mempersiapkan kita menerima Kristus—bersukacita dan berasa kagum, tetapi juga sederhana, berharap, percaya, dan rendah hati.

Rasa kagum dan sukacita (dan banyak lagi) seperti kanak-kanak kecil akan membuka hati kita untuk menerima Tuhan. Dia sedang menunggu agar kita berlari ke dalam pelukan-Nya.