Pada suatu musim sejuk yang sangat sejuk, saya pergi ke Tasik Michigan, tasik kelima terbesar di dunia, untuk melihat tasik itu membeku. Dengan berpakaian cukup, saya berdiri di pantai, tempat yang saya biasa menikmati cahaya matahari, dan saya dapat melihat satu pemandangan yang menakjubkan. Air itu sebenarnya membeku dalam bentuk ombak sehingga ia menciptakan sebuah karya ais agung.
Oleh sebab air membeku keras di tepi tasik itu, saya berpeluang “berjalan di atas air.” Walaupun saya tahu bahawa ais itu cukup tebal untuk menampung berat badan saya, saya masih mengambil beberapa langkah dengan teragak-agak. Saya berasa takut kalau-kalau ais itu tidak tahan menampung saya. Ketika saya berjalan dengan berhati-hati atas permukaan yang saya tidak biasa itu, saya teringat akan Yesus yang memanggil Petrus keluar dari perahu dan berjalan di atas Laut Galilea.
Apabila melihat Yesus berjalan di atas air, para murid Yesus juga ketakutan. Tetapi Yesus berkata, “Tabahkanlah hatimu. Aku Yesus. Jangan takut” (Matius 14:26-27). Petrus berjaya mengatasi ketakutannya, jadi dia keluar dari perahu dan mula berjalan di atas air kerana dia tahu bahawa Yesus menyertainya. Namun, apabila dia menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut dan dia berseru kepada Yesus. Yesus masih berada di sana, malah sangat dekat dengan Petrus sehingga boleh memegang dan menyelamatkan dia hanya dengan menghulurkan tangan-Nya.
Jika anda sedang menghadapi suatu keadaan hari ini, misalnya dipanggil oleh Yesus untuk melakukan sesuatu yang kelihatannya tidak mungkin seperti berjalan di atas air, tabahkanlah hati anda. Tuhan yang memanggil anda itu akan menyertai anda.