Sejak Ruth menderita penyakit kanser beberapa tahun lalu, dia tidak dapat makan, minum, atau menelan dengan baik. Tubuh badannya juga amat lemah dan kurus disebabkan menjalani banyak pembedahan dan rawatan.

Namun Ruth masih boleh memuji Tuhan; imannya tetap teguh, sukacitanya merebak dan membawa pengaruh kepada orang lain. Setiap hari dia berserah kepada Tuhan, berharap bahawa suatu hari kelak dia akan sembuh. Dia berdoa serta memohon kesembuhan dan dia berkeyakinan bahawa lambat laun Tuhan akan menjawab doanya. Alangkah mengagumkan iman sedemikian!

Ruth menjelaskan bahawa apa yang membuat imannya kuat ialah pengetahuan yang meyakinkan bahawa Tuhan bukan hanya akan menunaikan janji-Nya mengikut masa-Nya, malahan Tuhan akan menopangnya sehingga Dia menunaikan janji-Nya. Inilah harapan yang sama dipegang oleh umat Tuhan ketika mereka menunggu Tuhan menyelesaikan rancangan-Nya (Yesaya 25:1), membebaskan mereka daripada musuh (ayat 2), menghapuskan air mata mereka, menyingkirkan cela mereka, dan “menelan maut untuk selama-lamanya” (ayat 8).

Sementara itu, Tuhan memberikan tempat naungan dan perlindungan ketika umat Tuhan menunggu (ayat 4). Tuhan menghiburkan mereka apabila mereka mengalami masa pahit mereka, Dia memberi mereka kekuatan untuk bertahan, dan berjanji bahawa Dia menyertai mereka.

Ini ialah janji berganda yang kita peroleh—harapan bahawa Tuhan akan melepaskan kita suatu hari nanti, dan Tuhan akan memberi penghiburan, kekuatan dan naungan sepanjang hidup kita.