Apabila saya cuba membaiki mana-mana peralatan di rumah saya, saya terpaksa membayar orang lain untuk membaiki kerosakan yang telah saya lakukan ketika cuba membaiki kerosakan yang sebenar. Tetapi baru-baru ini saya berjaya membaiki suatu peralatan rumah dengan berpandukan video YouTube yang menunjukkan langkah demi langkah cara membaikinya.
Paulus merupakan teladan yang berkuasa kepada anak didiknya, Timotius, yang menyertainya dalam perjalanan dan melihat segala tindakannya. Paulus menulis surat kepada Timotius dari penjara di Roma yang berbunyi, “Tetapi kamu telah mengikut dengan penuh hemat segala ajaranku, cara hidupku, tujuan hidupku, imanku, kesabaranku, kasihku dan ketabahanku. Engkau telah melihat penganiayaan dan kesengsaraan serta segala yang menimpaku” (2 Timotius 3:10-11). Selain itu, Paulus menggesa Timotius supaya “terus berpegang kepada segala yang telah kamu pelajari dan yakini, kerana kamu tahu daripada siapa segalanya telah kamu pelajari, dan sejak kecil kamu telah mengenal Kitab Suci yang dapat memberimu kebijaksanaan untuk diselamatkan melalui iman dalam Kristus Yesus” (ayat 14-15).
Kehidupan Paulus menunjukkan kepentingannya untuk membina hidup kita berdasarkan firman Tuhan. Dia mengingatkan Timotius bahawa Alkitab adalah sumber yang berkuasa dan diilhamkan Tuhan, kita perlu mengajar dan menunjukkannya kepada orang lain yang ingin menjadi pengikut Kristus.
Sementara kita bersyukur kepada Tuhan untuk orang yang telah membantu kita bertumbuh dalam iman, kita dicabar untuk mengikuti teladan mereka, hidup dalam kebenaran apabila kita mengajar dan menggalakkan orang lain.
Itulah kuasa teladan.