Bayangkan anda sedang berdiri dekat dengan orang lain di tepi jalan tanah. Wanita di belakang anda berdiri terjengket-jengket, kerana hendak melihat siapa yang datang. Dari jauh, anda melihat seorang lelaki sedang menunggang keldai. Ketika Dia mendekat, semua orang membentangkan jubah mereka di jalan. Tiba-tiba, anda terdengar ranting-ranting patah di belakang. Apabila anda menoleh, kelihatan seseorang sedang memotong ranting-ranting pokok, dan orang ramai sedang menghamparkannya di hadapan keldai.

Para pengikut Yesus sungguh-sungguh memuliakan Dia ketika Dia masuk ke Yerusalem, beberapa hari sebelum Dia disalib. Orang ramai yang berduyun-duyun itu bersukacita dan memuji Tuhan dengan suara yang kuat kerana “semua mukjizat yang telah disaksikan oleh mereka” (Lukas 19:37). Pengikut-pengikut Yesus mengerumuni-Nya, dan mereka berseru, “Diberkatilah Raja yang datang dengan nama Tuhan!” (ayat 38). Penghormatan mereka yang sedemikian bersemangat telah memberikan kesan ke atas penduduk Yerusalem. Apabila Yesus akhirnya tiba di Yerusalem, “seisi kota itu kagum lalu bertanya, ‘Siapakah ini?’ ” (Matius 21:10).

Hari ini, orang masih tertanya-tanya siapa itu Yesus. Walaupun secara nyata kita tidak menghamparkan jalan yang dilalui Yesus dengan ranting-ranting pokok atau menyerukan pujian kepada-Nya, kita masih boleh memuliakan Dia. Kita boleh bercakap tentang pekerjaan-Nya yang luar biasa, menolong orang yang kekurangan, dengan tabah menghadapi penganiayaan, dan mengasihi sesama dengan sedalam-dalamnya. Maka kita boleh bersedia untuk memberi jawapan kepada orang yang bertanya, “Siapakah Yesus?”