Ketika saya membaca sepintas lalu buku-buku nasihat tentang kewangan akhir-akhir ini, saya menyedari satu gerakan yang menarik. Apabila hampir semua buku sedemikian mempunyai nasihat yang baik, kebanyakan mengatakan bahawa sebab utama pengurangan perbelanjaan adalah untuk hidup seperti orang kaya pada hari yang kemudian. Namun ada sebuah buku mengemukakan satu perspektif lain yang amat berbeza, yang membahaskan bahawa hidup sederhana adalah penting untuk kehidupan yang kaya. Jika anda memerlukan lebih banyak harta atau barang yang lebih beragam untuk merasakan kebahagiaan, “Anda memang telah gagal memahami makna sebenar dalam hidup ini,” dikatakan dalam buku itu.

Kata-kata yang bijaksana itu mengingatkan kita tentang kata-kata Yesus kepada seorang lelaki yang meminta Dia menyuruh abangnya membahagikan warisan dengannya. Yesus tidak bersimpati terhadap orang itu. Dengan nada yang kasar Yesus menolak permintaan itu, malah memberi amaran keras kepadanya tentang “segala ketamakan”—kerana “kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki” (Lukas 12:14-15). Kemudian Yesus menceritakan satu ibarat tentang orang kaya yang berancang untuk menyimpan hasil tanahnya dan menikmati gaya hidup yang mewah—kaedah rancangan untuk persaraan pada abad pertama—dengan satu kesimpulan yang tajam. Harta bendanya tidak berguna bagi dia, kerana dia mati pada malam itu (Lukas 12:16-20).

Walaupun kita bertanggungjawab untuk menggunakan harta benda kita dengan bijak, kata-kata Yesus mengingatkan kita untuk memeriksa niat hati kita. Hati kita haruslah tertumpu untuk mengutamakan kerajaan Tuhan—mengenal Dia dan melayani orang lain—bukan asyik menjamin masa depan diri kita (Lukas 12:29-33). Apabila kita hidup untuk Tuhan dan secara rela hati berkongsinya dengan orang lain, kita juga boleh menikmati kehidupan yang kaya dengan-Nya sekarang—dalam kerajaan yang memberikan erti kepada semua kehidupan (Lukas 12:32-34).