Pada suatu hari, tanpa diduga, saya mendapati ada setompok warna kuning di sebelah kanan jalan masuk ke rumah kami. Rupa-rupanya ada enam tangkai bunga dafodil berwarna kuning yang sedang mekar dan tumbuh tinggi antara dua buah batu besar yang seakan-akan menghimpitnya. Oleh sebab saya tidak pernah menanam, membaja, atau menyiram bunga itu, saya tidak memahami bagaimana dan mengapa bunga ini telah tumbuh di halaman rumah kami.

Yesus mengilustrasikan satu misteri pertumbuhan rohani dengan menggunakan ibarat tentang benih yang tumbuh. Dia mengibaratkan kerajaan Tuhan sebagai seorang yang menabur benih di ladangnya (Markus 4:26). Orang yang menabur benih itu mungkin telah menjaga tanah itu sedaya upayanya. Tetapi Yesus berkata bahawa benih itu bertumbuh tidak kira sama ada orang itu tidur, bangun, atau memahami segala pertumbuhan (ayat 27-28). Pemilik ladang itu tetap menuai hasil (ayat 29), sungguhpun proses pertumbuhan tidak bergantung pada apa yang dilakukannya atau pemahamannya akan segala aktiviti di bawah permukaan tanah.

Benih yang tumbuh dalam ibarat itu sama dengan bunga dafodil yang tumbuh di halaman rumah saya. Bunga itu bertumbuh mengikut masa dan kuasa pertumbuhan Tuhan. Cara-cara misteri Tuhan yang membolehkan kita bertumbuh secara rohaniah dan membolehkan gereja berkembang sehingga Yesus datang, cara Tuhan yang penuh misteri tidak bergantung pada kemampuan atau kefahaman kita akan pekerjaan-Nya. Namun, Tuhan tetap mengundang kita untuk mengenal, melayani, dan memuji Dia yang menanam, serta menuai hasil daripada kematangan rohani yang dikerjakan Dia melalui kita.