Sewaktu baru tamat dari universiti, saya mendapati bahawa saya perlu mengamalkan disiplin bajet yang ketat untuk perbelanjaan makanan saya, lebih tepat lagi, iaitu RM100 seminggu. Suatu hari sewaktu saya berbaris untuk membuat pembayaran, saya menjangka harga bahan-bahan makanan pilihan saya mungkin melebihi baki wang yang masih ada. “Tolong berhenti mengira apabila jumlah ini mencapai RM80.00,” kata saya kepada juruwang. Kemudian saya dapat membeli semua bahan yang saya perlukan kecuali sebungkus lada hitam.
Sewaktu saya mula memandu untuk pulang, seorang lelaki berhenti di sebelah kereta saya dan berkata “Puan, ini lada hitam kamu,” sambil menghulurkan satu bungkusan kepada saya. Sebelum saya sempat mengucapkan ‘terima kasih’, orang itu sudah berjalan pergi.
Hati saya terhibur apabila mengingatkan kebaikan sederhana daripada perbuatan baik itu. Saya teringat akan kata-kata Yesus dalam Matius 6. Yesus mengkritik orang yang suka menunjuk-nunjuk apabila memberi duit kepada golongan susah (ayat 2). Dia mengajar murid-murid-Nya tentang hal memberi dengan cara yang berbeza. Daripada memberi untuk menonjolkan kemurahan diri mereka, Yesus mengajar hal memberi biarlah dilakukan secara rahsia seolah-olah tangan kiri tidak menyedari pemberian tangan kanan (ayat 3).
Seperti perbuatan baik daripada orang yang tidak dikenali kepada saya, sebenarnya hal memberi bukan tentang diri kita. Kita memberi kerana Tuhan sudah memberikan kepada kita dengan melimpah (2 Korintus 9:6-11). Apabila kita memberi dengan senyap-senyap dan murah hati, kita sebenarnya memantulkan siapa itu Dia, iaitu Tuhan yang menerima kesyukuran yang selayaknya untuk Dia (ayat 11).