Sebahagian orang menyukai coklat berperisa pahit, manakala ada orang menyukai coklat berperisa manis. Masyarakat Maya kuno di Amerika Tengah sangat menyukai coklat sebagai minuman dan memperasakannya dengan lada hitam. Mereka menyukai minuman yang dinamakan sebagai “air pahit” ini. Beberapa tahun kemudian minuman ini diperkenalkan di Sepanyol, tetapi orang Sepanyol lebih menyukai coklat manis. Maka mereka menambah gula dan madu untuk mengurangkan rasa pahit semula jadi dalam coklat tersebut.

Seperti coklat, hari-hari yang kita lalui boleh terasa pahit dan manis. Seorang rahib Perancis pada abad ke-17 yang bernama Brother Lawrence menulis, “Sekiranya kita tahu Tuhan sangat mengasihi kita, maka kita akan sentiasa bersedia untuk menerima secara sama rata perkara yang manis dan pahit daripada tangan-Nya.” Menerima yang manis dan pahit dengan sama rata? Ini memang sukar! Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Brother Lawrence? Kuncinya adalah keperibadian Tuhan. Pemazmur berkata tentang Tuhan, “Engkau baik, dan berbuat baik” (Mazmur 119:68).

Kaum Maya juga menghargai coklat pahit kerana khasiat penyembuhan dan perubatan. Hari-hari pahit juga mempunyai nilainya. Hari-hari seperti itu dapat menyedarkan kita tentang kelemahan diri sehingga membuatkan kita lebih bergantung kepada Tuhan. Pemazmur berkata, “Kesusahan yang menimpaku baik bagiku, kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu” (ayat 71). Mari kita menerima kehidupan pada hari ini dengan pelbagai perisanya, setelah kembali yakin terhadap kebaikan Tuhan. Mari kita berkata, “Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik. Ya TUHAN, menurut firman-Mu” (ayat 65).