Pada suatu hari yang panas, Carmine McDaniel yang berumur 8 tahun mahu memastikan penghantar surat di kawasan kejiranannya tidak berasa kepanasan dan kekeringan. Dia pun meletakkan bekas penyejuk yang diisi dengan minuman sukan dan botol air di hadapan pintu rumah mereka. Kamera keselamatan merakam reaksi penghantar surat: “Wah, ada minuman. Terima kasih Tuhan; terima kasih!”

Ibu Carmine berkata, “Carmine berpendapat ini ‘tanggungjawabnya’ menyediakan minuman sejuk untuk penghantar surat tersebut walaupun mereka tidak berada di rumah.”

Cerita ini menghibur hati kita, tetapi ia juga mengingatkan kita bahawa ada seorang Peribadi selalu “membekalkan segala keperluanmu” (ayat 19), seperti dikatakan oleh Rasul Paulus. Walaupun Paulus berada di penjara dan tidak pasti dengan masa depannya, dia menyatakan sukacitanya kepada orang Kristian di Filipi kerana Tuhan telah mencukupkan keperluan kewangannya melalui bantuan mereka. Gereja di Filipi itu bukannya kaya, tetapi mereka sangat murah hati. Mereka tetap menyumbang keperluan Paulus dan orang lain walaupun mereka sangat miskin (lihat 2 Korintus 8:1-4). Sebagaimana jemaah Filipi telah mencukupkan keperluan Paulus, Tuhan akan memenuhi keperluan mereka “daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus” (Filipi 4:19).

Tuhan sering mengirim apa yang kita perlukan melalui pertolongan orang lain. Apabila kita berharap kepada Tuhan untuk apa yang kita perlukan, kita mempelajari rahsia kepuasan yang sebenar seperti Paulus (ayat 12-13).