Sebagai manusia, kita cenderung mencari maklumat yang menyokong pendapat kita. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa kita adalah dua kali lebih cenderung untuk mencari maklumat yang menyokong pendirian kita. Apabila kita menetapkan cara berfikir, kita mengelakkan jenis pemikiran yang mencabar pegangan kita.

Demikianlah halnya dalam pemerintahan Raja Ahab ke atas Israel. Apabila dia dan Yosafat, raja Yehuda, berbincang sama ada mereka harus pergi berperang melawan Ramot-Gilead, Ahab mengumpulkan 400 orang nabi—golongan orang yang dilantiknya sendiri untuk mengambil peranan nabi supaya memberitahu perkara-perkara yang mahu didengarnya, yakni membantu mereka membuat keputusan. Bagi setiap pertanyaan Ahab, mereka akan berkata, “Pergilah, kerana Allah akan menyerahkannya ke dalam tangan Raja” (2 Tawarikh 18:5). Yosafat bertanya sekiranya ada seorang nabi yang telah dipilih oleh Tuhan, yang melalui nabi itu mereka boleh bertanya kepada Tuhan. Ahab menjawab dengan berat hati sebab Mikha, iaitu nabi Tuhan, “tidak pernah menubuatkan hal yang baik tentang [dia], melainkan hal yang buruk belaka” (ayat 7). Memang benar, Mikha menyatakan bahawa mereka tidak akan menang, malah rakyat akan “tercerai-berai di gunung-gunung” (ayat 16).

Ketika membaca kisah mereka, saya menyedari saya juga cenderung mengelakkan nasihat yang bijak jika ini bukan perkara yang saya ingin dengarkan. Bagi Ahab, bencana terhasil akibat dia mengikuti nasihat 400 nabi pilihannya (ayat 34). Semoga dengan rela hati kita mencari dan mendengar suara kebenaran, iaitu firman Tuhan dalam Alkitab, walaupun ini bercanggah dengan cita rasa kita sendiri.