Dalam cerita klasik hasil karya Lewis Carroll, Alice in Wonderland, Alice bertanya, “Berapa lamakah masa selama-lamanya?” Arnab putih menjawab, “Kadangkala, hanya sesaat.”
Begitulah masa yang dirasakan sewaktu abang saya David, tiba-tiba meninggal dunia. Hari-hari sebelum upacara peringatannya seakan-akan berpanjangan, sehingga perasaan kehilangan dan kesedihan kita juga bertambah berat. Setiap saat adalah seperti masa selama-lamanya.
Daud daripada Alkitab mencerminkan kenyataan ini dengan nyanyian, “Berapa lamakah, ya TUHAN, akan Kaulupakan aku selama-lamanya? Berapa lamakah Engkau akan menyembunyikan wajah-Mu daripadaku? Berapa lamakah aku akan bergelut dengan fikiranku sendiri sedangkan hatiku duka setiap hari? Berapa lamakah musuhku akan mengatasiku?” (Mazmur 13:1–2). Dalam hanya dua ayat, Daud bertanya kepada Tuhan sebanyak empat kali, “Berapa lamakah?” Kadangkala kesakitan dalam kehidupan seolah-olah tidak pernah berakhir.
Hadirat dan pemeliharaan Bapa kita yang di syurga melangkah masuk ke dalam derita sebegini. Seperti Raja Daud, kita dapat datang kepada-Nya dengan jujur serta membawa kesakitan dan derita kita dengan keyakinan bahawa Dia tidak akan meninggalkan dan melupakan kita (Ibrani 13:5). Pemazmur telah menemukan kenyataan ini, sehingga nada kemurungannya berubah kepada nada pengisytiharan kemenangan: “Tetapi aku yakin akan kasih setia-Mu; aku bersukacita dalam penyelamatan-Mu” (Mazmur 13:5).
Dalam pergelutan kita dengan masalah yang seakan-akan tiada pengakhiran, kasih-Nya yang tidak pernah gagal mengangkat dan menyokong kita. Kita dapat bersukacita dalam penyelamatan-Nya.