Selama sepuluh tahun, emak saudara saya, Kathy menjaga bapanya (datuk saya) di rumahnya. Dia memasak dan membasuh untuknya sewaktu dia masih boleh berdikari, kemudian mengambil peranan seorang jururawat apabila kesihatannya merosot.

Pelayanan emak saudara saya merupakan contoh moden untuk kata-kata Paulus dalam suratnya kepada orang percaya di Tesalonika. Paulus bersyukur kepada Tuhan bagi mereka yang “telah bekerja dalam iman, berusaha dengan kasih dan bersabar dengan sepenuh harapan kepada Tuhan Yesus Kristus” (1 Tesalonika 1:3).

Emak saudara saya telah melayani orang dengan iman dan kasih. Pemeliharaan harian yang tetap adalah hasil daripada keyakinan bahawa Tuhan telah memanggil dia melibatkan dalam tugas yang penting ini. Segala pekerjaannya lahir melalui kasihnya kepada Tuhan dan bapanya.

Emak saudara saya juga telah bertahan dalam harapan. Datuk saya merupakan seorang yang sangat baik. Sedihnya melihat kesihatannya yang semakin merosot. Emak saudara saya mengorbankan masa bersama keluarga dan kawan-kawan, serta mengehadkan masa pelancongan demi menjaga bapanya. Dia dapat bertahan kerana pengharapan bahawa Tuhan dapat memberikan dia kekuatan setiap hari, di samping adanya harapan bahawa datuk saya akan kembali ke syurga.

Sama ada menjaga seorang saudara, menolong seorang jiran atau menjadi seorang sukarelawan dengan meluangkan waktu, semoga ini memberikan dorongan kepada kita dalam menjalankan tugas panggilan Tuhan kita. Pekerjaan kita dapat menjadi kesaksian tentang iman, harapan dan kasih kita dalam Tuhan.