Apabila rakan sekerja memaklumkan bahawa dia mengalami kesakitan yang teruk, semua orang di pejabat mengambil berat tentang keadaannya. Selepas mendapat rawatan di hospital dan mengambil masa selama sehari untuk berehat, dia kembali bekerja dan menunjukkan kepada kami punca kesakitan tersebut—batu pada buah pinggang. Dia meminta agar doktor memberikan batu itu kepadanya sebagai kenangan. Ketika melihat batu itu, saya menggerenyet dengan simpati kerana teringat akan batu hempedu yang saya pernah alami beberapa tahun yang lalu. Kesakitannya sangat menyeksa.
Sungguh menarik apabila benda yang amat kecil dapat mengakibatkan seluruh tubuh mengalami kesakitan yang teruk. Tetapi itulah yang dimaksudkan oleh Paulus dalam 1 Korintus 12:26: “Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita.” Dalam seluruh bab 12, Paulus menggunakan gambaran tubuh untuk menghuraikan keadaan orang Kristian di seluruh dunia. Apabila Paulus berkata, “Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya” (ayat 18), dia sedang merujuk kepada keseluruhan tubuh Kristus—semua orang Kristian. Kesemua kita mempunyai kurnia-kurnia yang berbeza dan peranan masing-masing. Namun memandangkan kita merupakan anggota-anggota daripada tubuh yang sama, maka sekiranya terdapat satu bahagian yang berasa sakit, semua bahagian turut merasakan kesakitan itu. Apabila seorang Kristian menghadapi penganiayaan, kesedihan atau masa susah, kita juga turut merasakannya seolah-olah kita mengalami kesakitan tersebut.
Kesakitan rakan sekerja saya itu mendorong dia mendapatkan pertolongan yang diperlukan oleh tubuhnya. Dalam tubuh Kristus, kesakitan seseorang menyalakan belas kasihan kita dan menggerakkan kita bertindak. Kita dapat berdoa, memberi kata-kata dorongan atau melakukan apa sahaja untuk membantu dalam proses penyembuhan. Begitulah langkah-langkah tubuh bergerak dan berfungsi bersama.