“Singkirkan sikap terburu-buru.” Apabila dua orang sahabat berulang kali mengingatkan saya tentang perkataan ini, saya tahu bahawa saya perlu mempertimbangkannya. Di manakah saya menghabiskan masa dan membazirkan tenaga saya? Lebih penting daripada itu, ke manakah saya telah menuju dengan terburu-buru tanpa melihat dan merujuk kepada Tuhan untuk mendapatkan pimpinan serta pertolongan-Nya? Beberapa minggu dan bulan-bulan yang menyusul, saya teringat akan kata-kata tersebut serta menyelaraskan semula hidup saya kepada Tuhan dan hikmat-Nya. Saya mengingatkan diri saya untuk percaya dan berharap kepada-Nya, bukan bersandar kepada cara saya sendiri.
Lagipun, sikap tergesa-gesa dan panik sangat bertentangan dengan “damai yang sempurna” yang dikatakan oleh nabi Yesaya. Tuhan memberi kurnia ini kepada mereka yang “tekadnya teguh,” kerana mereka percaya kepada-Nya (Yesaya 26:3). Tuhan juga dapat diharap pada hari ini, esok dan selamanya kerana “kerana Tuhan Allah sajalah, batu pejal yang kekal” (Yesaya 26:4). Berharap kepada Tuhan dengan hati dan minda kita yang tertumpu pada-Nya merupakan penawar kepada kehidupan yang tergesa-gesa.
Bagaimanakah dengan kita? Adakah kita memerhatikan bahawa kita ini orang yang tergesa-gesa atau terburu-buru? Mungkin secara kontras kita selalu dapat merasakan damai, atau kita berada di antara perasaan terburu-buru dan tenang?
Apa pun keadaan kita, saya berdoa agar pada hari ini kita dapat mengetepikan sikap terburu-buru kerana kita percaya dan berharap kepada Tuhan yang tidak pernah gagal dan Dia memberi damai-Nya kepada kita.