Sewaktu anjing peliharaan saya yang berbulu coklat baru berumur tiga bulan, saya membawanya ke klinik haiwan untuk penyuntikan dan pemeriksaan. Ketika doktor memeriksanya dengan teliti, ternyata terdapat tanda putih kecil pada bulu tapak kirinya. Dia tersenyum dan berkata kepada anjing saya, “Di sinilah Tuhan memegang kamu sewaktu Dia mencelup kamu ke dalam coklat.”
Saya tidak dapat menahan diri daripada tertawa. Secara tidak langsung, doktor tersebut telah menyatakan satu kebenaran tentang perhatian dan minat Tuhan yang sangat mendalam terhadap ciptaan-Nya.
Yesus memberitahu kita dalam Matius 10:30, “Setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung.” Tuhan sungguh besar dan luar biasa sehingga Dia mampu mengambil masa dan perhatian untuk perkara yang terperinci dalam kehidupan kita. Tiada perkara yang terlalu kecil dapat terlepas daripada pandangan-Nya, dan tiada perkara yang terlalu remeh untuk dibawa ke hadapan-Nya. Dia sangat mempedulikan kita.
Tuhan bukan hanya mencipta kita. Dia juga memelihara dan melindungi kita setiap waktu. Sering dikatakan “Iblis tersembunyi dalam butir-butir”. Tetapi jauh lebih baik untuk melihat bahawa Tuhan wujud dalam segala perincian, memperhatikan segala sesuatu termasuk hal-hal yang terlepas daripada perhatian kita. Ini amat menghiburkan apabila mengetahui bahawa Bapa kita yang sempurna, bijaksana dan sangat memperhatikan, sentiasa memegang semua ciptaan dalam tangan-Nya yang penuh kasih dan kuasa.