Grace merupakan seorang wanita yang sangat istimewa. Satu perkataan akan terlintas dalam fikiran apabila saya berfikir tentangnya, iaitu kesejahteraan. Wajahnya yang kelihatan tenang tidak berubah dalam masa enam tahun saya mengenalinya. Dia tetap tenang walaupun suaminya didapati sedang menghidap penyakit yang jarang ditemui dan sedang menerima rawatan di hospital.

Ketika saya bertanya kepada Grace rahsia kesejahteraannya, dia berkata, “Ini bukannya satu rahsia. Sumbernya berasal daripada seorang Peribadi. Dialah Yesus yang ada dalam saya. Saya tidak ada cara lain untuk menjelaskan ketenangan yang saya alami di tengah-tengah badai ini.”

Rahsia kesejahteraan kita adalah hubungan kita dengan Yesus Kristus. Dia ialah kesejahteraan kita. Apabila Yesus merupakan Penyelamat dan Tuhan kita, dan kita menjadi semakin serupa dengan Dia, maka kesejahteraan menjadi nyata. Hal-hal seperti penyakit, masalah kewangan atau bahaya mungkin hadir dalam hidup kita, tetapi kesejahteraan memberikan keyakinan bahawa Tuhan memegang kehidupan kita dalam tangan-Nya (Daniel 5:23), dan kita boleh mempercayai serta berharap bahawa segala perkara dapat berlaku untuk mendatangkan kebaikan.

Pernahkah kita mengalami kesejahteraan yang melampaui akal budi dan pemahaman kita? Adakah kita betul-betul yakin bahawa Tuhan sedang berkuasa dalam segala perkara? Harapan saya untuk setiap orang adalah seperti yang dikatakan oleh rasul Paulus: “Semoga Tuhan, sumber segala kesejahteraan, sentiasa mengurniaimu kesejahteraan dalam segala hal” (2 Tesalonika 3:16).