Perkhidmatan kecemasan di Carlsbad, California telah menyelamatkan seorang wanita berloghat Australia yang tidak dapat mengingati dirinya. Disebabkan dia mengalami kehilangan ingatan dan tidak membawa kad pengenalan, dia tidak dapat memberitahu namanya atau dari mana asalnya. Para doktor dan media antarabangsa telah bekerjasama untuk memulihkan kesihatannya, berkongsi ceritanya, agar wanita itu dapat bertemu semula dengan keluarganya.

Nebukadnezar, iaitu Raja Babel juga pernah kehilangan ingatan tentang siapa dirinya dan dari mana asalnya. Kehilangan ingatan yang dialami oleh Nebukadnezar sebenarnya bersifat rohani. Ini kerana kesombongan atas kerajaan yang diberikan kepada dia, raja ini melupakan bahawa Tuhan ialah Raja segala Raja dan segala sesuatu adalah berasal daripada-Nya (Daniel 4:17, 28–30).

Kewarasan raja mengalami saat yang dramatik ketika dia diusir ke lapangan untuk tinggal bersama binatang liar dan makan rumput seperti seekor lembu (ayat 32-33). Akhirnya, selepas tujuh tahun, raja Nebukadnezar menengadah ke langit, dan ingatan tentang siapa dirinya serta siapa yang telah memberikan kerajaan kepadanya telah kembali. Dengan ingatan yang dipulihkan, dia mengisytiharkan, “Sekarang aku, Nebukadnezar, memuji, meninggikan, dan membesarkan Raja Syurga” (ayat 37).

Bagaimanakah dengan kita? Siapakah yang kita anggap tentang diri kita? Dari manakah asal kita? Memandangkan kita cenderung lupa, maka siapa lagi yang kita dapat bergantung, kecuali bergantung kepada Raja segala Raja yang boleh menolong kita ingat akan siapa diri kita yang sebenar?